MEKAH – Umat Islam yang melaksanakan ibadah haji tanpa visa tetap melakukan kesalahan kerana melanggar undang-undang pemerintah walaupun memenuhi rukun dan syarat sah haji.
Ketua Pakar Rujuk Haji, Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, peraturan diwujudkan bagi menguruskan jutaan jemaah secara sistematik selain memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kelancaran sepanjang musim haji terjamin.
Menurut beliau, kepatuhan terhadap peraturan yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi juga termasuk dalam tuntutan mentaati pemerintah atau ulil amri demi menjaga kemaslahatan umum.
“Dari sudut individu mungkin mereka melihat ibadah itu boleh dilaksanakan, namun pihak pengurusan perlu melihat keseluruhan operasi haji yang melibatkan jutaan manusia dari seluruh dunia.
“Justeru, mematuhi peraturan bukan sekadar soal undang-undang, tetapi sebahagian daripada tanggungjawab dalam memastikan perjalanan ibadah haji berjalan lancar tanpa menjejaskan jemaah lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau diminta mengulas isu terdapat pihak yang cuba memasuki Mekah bagi melakukan ibadah haji tanpa visa daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
Sementara itu, Luqman berkata, wukuf di Arafah merupakan kemuncak ibadat haji yang bukan sahaja menjadi rukun paling utama, malah melambangkan penyatuan umat Islam tanpa mengira darjat, bangsa mahupun latar belakang.
“Semua jemaah haji berhimpun di satu lokasi pada waktu yang ditetapkan tanpa sebarang perbezaan kedudukan, menjadikan Arafah simbol kesamarataan paling jelas dalam Islam.
“Berbeza dengan ibadah lain seperti tawaf dan saie yang mempunyai pelbagai bentuk pelaksanaan, wukuf hanya berlaku sekali pada masa tertentu dan wajib bagi semua jemaah berada di Arafah,” katanya.
Beliau berkata, haji mabrur tidak diukur melalui keselesaan atau kemudahan yang dinikmati jemaah, sebaliknya bergantung kepada keikhlasan, kesempurnaan ibadah serta penjagaan diri daripada maksiat.
“Ihram yang sama dipakai semua jemaah melambangkan bahawa Allah tidak melihat pada status atau kemewahan tetapi kepada hati yang tunduk dan ikhlas,” tambahnya.














