fbpx
YUSRY mengakui berdepan fasa emosional tatkala berjauhan dengan isterinya Lisa yang kini sedang menunaikan ibadah haji.

‘Memang saya rindu Lisa, ini antara fasa berat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT JALIL – Melalui fasa rindu berat, pelakon dan pengarah Datuk Yusry Abdul Halim tidak menafikan sedang berdepan emosi tidak menentu atau emosional apabila berjauhan dengan isteri tercinta, Datin Lisa Surihani yang kini menunaikan ibadah haji di Mekah.

Yusry, 53, mengakui perasaan rindunya semakin menebal, apatah lagi apabila tiada tempat berkongsi momen kehidupan walaupun keadaannya baik-baik sahaja.

“Bagi saya, ini antara fasa agak berat. Kadang-kadang bila kita sedih atau susah, kita mahu orang tersayang ada untuk menyokong.

“Tetapi apabila kita gembira dan berada di atas, macam keberjayaan watak saya dalam drama terbaharu, tiada siapa untuk berkongsi rasa itu pun sangat menyakitkan kerana Lisa tiada di sini.

“Watak saya viral dengan Tracie dalam drama Dendam Seorang Mentua, saya pula jenis memikirkan perasaan pasangan. Walaupun Lisa tidak cakap apa-apa tentang itu, saya sentiasa bayangkan jika saya berada di tempatnya, apa agaknya dia rasa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut anggota kumpulan KRU itu, luahan rindu tersebut lahir secara spontan sebagai tanda kasih dan penghargaan terhadap isteri.

“Memang saya rindu. Pada masa sama, saya mahu dia tahu dia sentiasa dalam hati saya.

“Saya selalu cakap perkara itu dalam telefon, tetapi kadang-kadang kita mahu tunjukkan juga secara terbuka bahawa dia sentiasa ada dalam diri kita,” ujarnya pada sesi temu bual bersama barisan pelakon Dendam Seorang Mentua, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Yusry kini menggalas tanggungjawab sebagai ‘bapa sepenuh masa’ sepanjang ketiadaan isterinya.

“Alhamdulillah anak-anak okey. Kebetulan mereka ada peperiksaan, jadi saya uruskan semua.

“Sekarang saya jadi ‘full-time dad’. Ada perkara yang saya tidak biasa buat sebelum ini, tetapi saya belajar.

“Hantar sekolah, ambil sekolah, urus rutin harian, semua itu pengalaman baharu buat saya,” tuturnya

Terdahulu, Yusry mencuri perhatian ramai apabila memuat naik gambar Lisa tersenyum dalam persalinan abaya merah jambu dalam satu perkongsian dalam media sosial, disertai luahan rindu buat isterinya.

Sebelum ini, hasrat Yusry untuk mengiringi Lisa menunaikan haji pada 7 Mei lalu tidak kesampaian apabila permohonannya tidak diluluskan pihak berkuasa Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN