MEKAH – Pengenalan pek sajian makanan baharu dan tambahan 10 menu merupakan antara pembaharuan utama Lembaga Tabung Haji (TH) dalam mempertingkat kualiti penyediaan hidangan jemaah haji tahun ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, antara kelainan utama ialah pengenalan pek sajian makanan yang direka khas bagi memastikan kualiti hidangan lebih baik setelah mengambil kira pandangan jemaah haji pada musim lalu.
Katanya, pek berkenaan memisahkan antara nasi, lauk berprotein seperti ayam dan ikan serta sayur-sayuran bagi memastikan hidangan kekal dalam keadaan lebih baik ketika diagihkan.
“Rekaan ini membolehkan kuah dikekalkan dalam kuantiti mencukupi tanpa bercampur dengan nasi, sekali gus mengatasi masalah makanan kering yang sering dibangkitkan jemaah sebelum ini.
“Malah walaupun digoncang, ketiga-tiga komponen ini tidak bercampur, sekali gus mengekalkan tekstur dan rasa makanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi dapur haji 2026/1447H di sini semalam.
Beliau berkata, sebanyak 1.8 juta bekas makanan telah dibawa dari Malaysia ke tanah suci bagi menampung keperluan jemaah haji.
Dalam pada itu, Mustakim berkata, TH memperkenalkan 10 menu baharu termasuk nasi Arab dan menjadikan keseluruhan 52 hidangan disediakan bagi memenuhi kepelbagaian cita rasa jemaah di samping mengekalkan identiti masakan Malaysia.
“Walaupun berdepan kekangan bahan mentah yang tidak dapat dibawa dari tanah air, kita tetap berusaha mengekalkan cita rasa Malaysia melalui penggunaan bahan yang diolah oleh chef berpengalaman,” katanya.
Menurut Mustakim, penyediaan makanan untuk lebih 22,000 jemaah dikendalikan di tujuh dapur iaitu lima di Mekah dan dua di Madinah menerusi kekuatan 33 petugas termasuk 19 chef yang dibawa dari Malaysia.
Katanya, menu yang disediakan disusun secara dua pusingan sebelum dan selepas hari wukuf bagi memastikan jemaah tidak menerima hidangan sama dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu. – KOSMO! ONLINE














