fbpx
SHANNON (duduk, tengah)) bersama pasukan pengurusan dan sebahagian 80 bidan dari Malaysia serta Singapura ketika menghadiri iBidan Postnatal Excellence Recognition di Yunnan, China baru-baru ini.

Visi Shannon lahir, perkasa profesion perbidanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI kebanyakan orang, bidang perbidanan mungkin hanya dilihat sebagai kerja menjaga ibu berpantang selepas bersalin.

Namun bagi pengasas iBidan, Shannon Eu, 47, bidang itu sebenarnya jauh lebih besar daripada apa yang disangkakan.

Menurutnya, dia percaya ramai bidan memainkan peranan sangat penting dalam membantu ibu melalui salah satu fasa paling mencabar dalam hidup seorang wanita.

“Ramai bidan sebenarnya sangat bagus, tetapi selama ini mereka tidak dilihat dan sukar dihargai secara profesional. 

“Para ibu sebenarnya memerlukan sokongan yang betul selepas bersalin, namun dek kerana kekangan tertentu, golongan ini sukar mencari bidan benar-benar sesuai dan berkualiti,” katanya kepada K-Wanita baru-baru ini.

Menyedari keperluan tersebut, anak jati Muar, Johor itu mula membangunkan iBidan dengan satu harapan.

Jelasnya, bukan sekadar membantu ibu mendapatkan pemulihan yang lebih baik, malah membantu bidang perbidanan berkembang sebagai satu kerjaya lebih dihormati serta mempunyai masa depan besar.

Hari ini, setelah lebih dua dekad diasaskan, iBidan telah berkembang di Malaysia dan Singapura dengan lebih daripada 500 bidan atau digelar ‘fighter’ dalam rangkaian platform mereka.

Lebih membanggakan katanya, syarikat itu juga mencatat lebih daripada 100,000 perkhidmatan pemulihan selepas bersalin di Malaysia dan Singapura.

Namun bagi Shannon, perkara paling penting bukan sekadar angka mahupun jumlah. Sebaliknya, dia mahu membina satu sistem lebih tersusun supaya bidan yang benar-benar berkualiti dapat dilahirkan dan memberi perkhidmatan terbaik.

SHANNON

Melalui gabungan kaedah tradisional dan teknologi terkini, platform tersebut memberi fokus kepada pemulihan badan, keseimbangan emosi dan perjalanan pemulihan ibu secara lebih menyeluruh.

Terbaharu, pada 18 Mei lalu, iBidan turut membawa kira-kira 80 peserta dari Malaysia dan Singapura ke Yunnan, China bagi menghadiri iBidan Postnatal Excellence Recognition serta sesi pertukaran profesional merentas negara.

Jelas Shannon, majlis tersebut diadakan sebagai penghargaan kepada para bidan di bawah kendaliannya, sekali gus mengekalkan prestasi konsisten dan tahap kepercayaan pelanggan yang tinggi dalam platform iBidan.

Majlis tersebut turut menghimpunkan bidan berprestasi tinggi dalam platform iBidan, dengan kadar kehadiran penerima mencecah 88 peratus. 

Ini mencerminkan komitmen tinggi terhadap pembangunan profesional dan standard perkhidmatan iBidan.

Menurut Shannon, pengiktirafan seperti itu sangat penting kerana ramai bidan sebenarnya sangat bekerja keras setiap hari, tetapi jarang diberikan penghargaan secara profesional.

IBIDAN menawarkan perkhidmatan penjagaan ibu selepas bersalin.

“Kami mahu mereka rasa bangga dengan bidang yang mereka ceburi. Kami mahu mereka tahu bahawa usaha mereka sebenarnya sangat bernilai dan dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya.

Selain sesi pengiktirafan, majlis tersebut turut berkongsi beberapa kisah ‘Super Mama Story’ daripada pelanggan sebenar melalui paparan skrin.

“Antara kisah dikongsikan termasuk pengalaman ibu yang berjaya pulih daripada kesakitan selepas bersalin. Ada juga kisah ibu yang bersalin secara pramatang dan kembali yakin untuk menyusukan bayi.

Ada juga ibu yang kembali mendapatkan keyakinan diri selepas melalui perjalanan pemulihan panjang,” ujarnya.

Menurut Shannon, semua kisah tersebut menjadi bukti bahawa pemulihan selepas bersalin, bukan sekadar rawatan biasa.

Sebaliknya, ia adalah satu proses penting yang boleh memberi impak besar kepada kehidupan seorang wanita.

Melihat kepada masa depan, Shannon berharap lebih ramai bidan berkualiti dapat terus berkembang dan diberi pengiktirafan sewajarnya. 

Platform iBidan juga dibangunkan bagi memastikan bidan yang benar-benar konsisten dan berkualiti diberi peluang untuk berkembang, dikenali dan mendapat pengiktirafan lebih besar pada masa hadapan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai servis dan juga latar belakang syarikat itu, layari laman sesawang www.ibidan.com.my dan www.ibidan.com.sg.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN