MEKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan dua jemaah haji Malaysia masing-masing lelaki dan wanita meninggal dunia di Mekah.
TH berkata, jemaah pertama seorang lelaki berusia 64 tahun berasal dari Parit Buntar, Perak yang datang bersama isterinya ke Tanah Suci.
Katanya, lelaki itu meninggal dunia di Hospital King Faisal pada pukul 8.29 malam, 19 Mei lalu akibat asma yang teruk.
“Allahyarham merupakan jemaah yang dibawa Syarikat Pengelola Jemaah Haji daripada kumpulan KT79 dan menginap di Al Safwah Hotel, Mekah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TH berkata, jenazah kedua merupakan jemaah wanita berusia 66 tahun yang berasal dari Tawau, Sabah.
Allahyarham daripada kumpulan KT82 yang menginap di Hotel Abraj Al-Tayseer, Mekah, hadir bersama suami ke Tanah Suci.
“Allahyarham meninggal dunia di Hospital Saudi German pada pukul 10.50 pagi, 20 Mei akibat serangan jantung,” katanya.
Kedua-dua jenazah itu dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas selesai proses dokumentasi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea, Mekah.
“TH mengucapkan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua Allahyarham,” katanya. – KOSMO! ONLINE














