fbpx

CPRC berhempas pulas sedia info lengkap Covid-19 setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN pasukan CPRC yang antara lain bertugas mengumpul data dan info lengkap berkaitan Covid-19 setiap hari.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Sejak Februari lalu, rakyat Malaysia disajikan dengan paparan angka kes positif Covid-19 yang didedahkan menerusi sidang akhbar oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hampir setiap hari.

Namun, apa yang rakyat Malaysia tidak tahu adalah wujud satu kumpulan di belakang Noor Hisham yang berhempas pulas tanpa jemu mengumpulkan setiap data berkaitan Covid-19 setiap hari tanpa mengenal penat dan lelah.

Noor Hisham menerusi hantaran di Facebook pagi tadi berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) adalah pasukan yang sentiasa berada di belakang tabir Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyediakan info lengkap berkaitan Covid-19.

Beliau berkata, pasukan itu terbabit dalam aktiviti pengumpulan data, membuat analisis dan menterjemahkan dalam laporan yang ringkas, padat serta mudah difahami.

“Data harian dikaji sehingga pukul 12 tengah hari dan mereka hanya ada tempoh masa kurang empat jam untuk keluarkan laporan harian maklumat terkini setiap hari. Semoga segala urusan dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Dr. Fadly Khairie dari Pasukan Data CPRC turut berkongsi rutin harian pasukannya khususnya sepanjang pandemik Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, rutin tugasan harian bermula pukul 8 pagi iaitu waktu sama Noor Hisham memulakan mesyuarat dengan semua pemegang taruh dalam pengurusan Covid-19 di KKM termasuk ketua-ketua bahagian dan pakar-pakar perubatan.

“Isu-isu semasa yang berlaku, perincian kes harian, kluster aktif, keadaan hospital, klinik kesihatan, logistik, sampel dan sumber manusia akan dibincangkan seterusnya langkah-langkah yang perlu diambil akan diperhalusi.

“Selepas itu, semua orang akan kembali ke pasukan masing-masing. Saya sendiri akan kembali ke pasukan data. Pasukan kami diketuai oleh Dr. Hazlina Yahaya dan Dr. Shahrul serta beberapa orang pegawai dari pelbagai bahagian KKM,” katanya.

Katanya, tugas mereka bermula daripada menerima perlaporan dan notifikasi kes positif dari pukul 12 tengah malam semalam hingga ke 12 tengah hari sebelum setiap maklumat yang diterima akan diteliti dan dilakukan verifikasi untuk memastikan ketepatan dan kesahihan data.

Fadly berkata, setiap nama pesakit juga akan diberi nombor kes sebagai ‘deidentification’ bagi membolehkan analisis data dan kerahsian data pesakit terjaga.

Menurutnya, setiap data positif yang disiasat akan dikenal pasti tentang maklumat sosiodemografi, kadar CT value, punca jangkitan, jenis saringan dan risiko penyebaran kes kepada masyarakat.

“Kami juga akan mengenal pasti hubungan epidemik antara satu kes dengan kes yang lain terutama apabila ia membabitkan hubungan antara negeri.

“Sekiranya  ada, perbincangan akan diumumkan dengan negeri dan daerah untuk mengumumkan kluster tersebut. Tujuan kluster diumumkan adalah supaya tindakan proaktif dan saringan lebih giat boleh dilakukan di daerah dan lokaliti yang terlibat,” katanya.

Katanya lagi, antara pukul 4 hingga 5 petang adalah waktu-waktu genting untuk pasukannya yang mana semua data perlu dimuktamadkan supaya boleh diumumkan sewaktu sidang akhbar Noor Hisham.

Fadly berkata, proses verifikasi dilakukan bagi memastikan tiada kesilapan selain ada beberapa orang ditugaskan untuk menyiapkan teks ucapan Noor Hisham.

“Semua proses perlu berlaku dengan cepat dan tepat. Antara yang menjadi cabaran apabila bilangan kes harian yang sangat tinggi menyukarkan urusan analisis data.

“Apa pun yang berlaku, tiada langsung kesilapan dibenarkan dan seratus peratus tepat sentiasa menjadi matlamat kami.

“Begitulah akhirnya satu hari berakhir dan keesokannya kitaran yang sama akan bermula semula,” katanya.

Katanya, pihaknya akan cuba sebaik mungkin untuk memberikan penyelesaian terbaik supaya negara ini dapat menang dalam peperangan menentang musuh Covid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI