KESAN luka daripada krisis kesihatan yang membawa tsunami pandemik Covid-19 bermula tahun 2020 baru sahaja sembuh namun parut masih belum hilang.
Banyak perkara sedih, perit dengan pengorbanan yang terpaksa dilakukan membuatkan kita semua trauma dengan bencana tersebut sehingga ada yang masih menganggur dan ada yang baru bangkit memulakan perniagaan yang merudum.
Selain itu, ada juga yang baru move on kesan daripada kehilangan insan tersayang akibat penyakit berbahaya itu.
Kini akibat isu geopolitik yang semakin tegang di Asia Barat, kesannya kini semakin hari semakin dirasai sehingga ia boleh mengganggu gugat aktiviti harian seiring memberi impak negatif kepada ekosistem perkembangan ekonomi semasa.
Apa yang ketara kini adalah harga diesel yang melambung tinggi sehingga boleh membantutkan pelbagai aktiviti logistik yang terbabit dalam industri, syarikat, usahawan dan individu yang bergantung kepada penggunaan kenderaan diesel.
Selain itu, sedikit sebanyak pelbagai khabar berita termasuk mengenai sebuah syarikat penerbangan yang terpaksa mengurangkan jadual penerbangannya bagi separuh pertama April ini sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan kestabilan kewangan ekoran harga bahan api yang semakin tinggi, juga memberi isyarat berjaga-jaga.
Secara logik akalnya, ini semua akan menyebabkan pengurangan kakitangan dan jika ada yang terpaksa direhatkan pastinya menyebabkan berlakunya satu momen yang bakal berulang seperti pandemik lalu.
Perkara yang ditakuti itu kini semakin menghantui ramai orang, selain pelaksanaan bekerja dari rumah, pelbagai kempen penjimatan kos dan ikhtiar lain untuk memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Bersediakah kita berdepan dengan krisis seperti ini lagi, meskipun tiada lock down, tiada rentas negeri atau rentas daerah tetapi ‘kebebasan’ untuk menjalankan rutin harian semakin terikat dengan kos harga barang yang semakin naik semakin menghimpit semua pihak.
Berbelanjalah mengikut kemampuan sendiri, laksanakan bajet berhemah dengan cara masing-masing, jangan terlalu lurus bendul mengikut panduan pakar kewangan, kaunseling kewangan dan juga pakar ekonomi malah juga daripada pempengaruh di media sosial.
Pandangan mereka ada benarnya kerana ia membantu meningkatkan tahap pengetahuan, pembelajaran dan kefahaman kita tentang situasi ekonomi semasa tetapi segalanya terletak pada akal fikiran yang waras dan kesesuaian diri masing-masing.
Tenang-tenang dulu, jangan diikutkan hati yang gusar itu, memang semua orang risau dan bimbang jika berlaku lagi krisis seperti pandemik lalu tetapi kerajaan pasti ada caranya untuk menangani masalah tersebut.
Pengalaman berdepan pandemik yang agak memeritkan semua orang tidak kira warga emas, dewasa dan kanak-kanak mematangkan kita untuk berdepan dengan apa juga krisis pada masa kini dan masa depan.
Kita berjaya hadapinya dan slogan ‘kita jaga kita’ sering dilaungkan untuk meningkatkan semangat setia kawan, jadi jika hari ini kita terpaksa mengharungi satu lagi krisis berkaitan tenaga global, jadi ayuh, kita lakukan bersama… kita pasti berjaya. – KOSMO! ONLINE














