fbpx
Ling Ching antara pemain sandaran untuk menyumbang mata dalam acara perseorangan wanita.

Ulangan skrip 2010 tidak mustahil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD badminton wanita bakal turun ke pentas Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark bermula 24 April hingga 3 Mei ini dengan misi untuk mengulangi pencapaian bersejarah mara ke pusingan suku akhir.

Ketika itu, Malaysia langsung tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan, namun berbekalkan semangat juang yang luar biasa, pasukan negara berjaya meneruskan kemaraan sehingga ke peringkat kalah mati.

Pada edisi kali ini, cabaran dijangka lebih sukar, terutamanya dengan ketiadaan pemain beregu wanita, Pearly Tan yang terpaksa digugurkan daripada skuad pada saat akhir akibat kecederaan belakang.

Bagaimanapun, saingan Piala Uber tidak hanya bergantung kepada satu nama kerana ia merupakan kejohanan berpasukan, sekali gus memerlukan kerjasama daripada semua pemain bagi merealisasikan sasaran yang dibuat.

Tanpa kehadiran Pearly, Malaysia tetap memiliki barisan pemain muda yang berani, termasuk gandingan Carmen Ting-Ong Xin Yee serta Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan diketuai kapten, M. Thinaah.

Prestasi semasa barisan perseorangan wanita seperti K. Letshanaa, Wong Ling Ching dan Goh Jin Wei dijangka mampu membantu pasukan negara mencapai sasaran dan tidak mustahil melangkah lebih jauh.

Berada dalam saingan Kumpulan B bersama Turkiye, Afrika Selatan dan Jepun, penulis menganggap pasukan negara tidak berdepan masalah untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir, namun untuk menjadi juara kumpulan adalah satu cerita berbeza.

Ia adalah disebabkan pasukan negara akan bertemu Jepun yang merupakan juara enam kali Piala Uber pada aksi terakhir peringkat kumpulan 27 April ini, namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk Malaysia melakar kejutan.

Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin optimis dengan peluang pasukan Malaysia untuk menewaskan Jepun, namun enggan meletakkan tekanan terlalu tinggi kepada pemain.

“Dari segi prestasi, memang kita perlu melangkah ke pusingan kalah mati tetapi tidak mahu terlalu menekan pemain. Tugas saya sekarang hanyalah untuk mempersiapkan mereka sebelum perlawanan berlangsung.

“Kita juga optimis boleh melakar kejutan ke atas Jepun tetapi tidak boleh terlalu yakin. Saya rasa kita boleh berikan tentangan kepada Jepun, namun enggan berikan tekanan berlebihan,” katanya.

Dengan ketiadaan Pearly, satu mata automatik boleh dianggap sudah tidak, sekali gus memerlukan pemain-pemain lain, terutamanya perseorangan wanita untuk menghadirkan mata sulung bagi membangkitkan semangat rakan sepasukan yang lain.

Atas kertas, Letshanaa akan menggalas peranan sebagai perseorangan pertama negara pada kejohanan itu berdasarkan kedudukan semasa ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), diikuti Wong Ling Ching.

Ling Ching sebelum ini menampilkan aksi cukup baik ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China apabila hampir mengejutkan bekas juara dunia dari India, P.V. Sindhu di pusingan pertama.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana mendapat peluang beraksi menentang pemain-pemain terbaik dunia. Jadi, setiap kali bertemu pemain berbeza, banyak benda saya belajar kerana kelebihan pemain tidak sama,” ujar Ling Ching.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN