JOHOR BAHRU – Bekalan peranti perubatan dalam negara tidak akan terganggu susulan ketidaktentuan pasaran disebabkan konflik di Asia Barat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jaminan itu diberikan selepas Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) menjalin kerjasama strategik dengan China untuk meningkatkan pembekalan bahan mentah resin dan nafta untuk kegunaan industri tempatan.
Katanya, ini adalah salah satu langkah-langkah mitigasi yang telah dilaksanakan oleh kementerian secara berterusan bagi memastikan rantaian bekalan peranti perubatan dalam negara tidak terjejas.
“Sebagai langkah proaktif, MDA telah memuktamadkan satu persetujuan strategik bersama pihak berkuasa China untuk meningkatkan pembekalan bahan mentah resin dan nafta untuk kegunaan industri tempatan.
“Inisiatif ini bertujuan menstabilkan rantaian bekalan serta memastikan kelangsungan pengeluaran peranti perubatan kritikal di Malaysia.
“Bekalan tambahan tersebut akan berfungsi sebagai pemangkin utama dalam menampung kekurangan bahan mentah semasa bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan negara,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai di Dewan Raya Taman Bukit Indah, di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, bekalan tambahan itu akan berfungsi sebagai pemangkin utama dalam menampung kekurangan bahan mentah semasa bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan negara.
Katanya, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan China atas komitmen padu dalam menyokong kestabilan rantaian bekalan bahan mentah industri peranti perubatan serantau.
“Kerjasama strategik ini adalah penting bagi memastikan bahan mentah ini mencukupi untuk terus membuat peranti-peranti perubatan.
“Yang penting, kita tidak lagi berdepan gangguan bekalan. Hal yang terkait dengan harga, itu adalah dalam rundingan prinsip ‘willing buyer, willing buyer’,” katanya.-KOSMO! ONLINE














