PUTRAJAYA – Sebanyak 39 peratus warga emas dilaporkan menghidapi penyakit diabetes, manakala 73 peratus pula berdepan tekanan darah tinggi berdasarkan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas.
Selain itu, sebanyak 76 peratus prevalens pula merekodkan paras kolesterol tinggi selain 68 peratus warga emas mempunyai sekurang-kurangnya dua daripada tiga penyakit kronik berkenaan.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, 30 peratus pula warga emas mempunyai ketiga-tiga penyakit kronik berkenaan.
“Dapatan ini membimbangkan dan menekankan keperluan untuk strategi komprehensif. Dapatan NHMS 2025 menunjukkan bahawa 30.6 peratus warga emas tidak aktif secara fizikal, manakala 12.8 peratus terlibat dalam tingkah laku sedentari yang tinggi.
“Tinjauan juga mendapati bahawa 45 peratus warga emas mengalami sarkopenia, 60 peratus berisiko mengalami frailti dan 11 peratus telah mengalami frailti,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kelajuan penuaan di Malaysia turut dilaporkan antara yang terpantas di dunia, seterusnya memerlukan tindakan segera.
“Jika negara maju seperti Jepun dan Sweden mengambil masa hampir satu abad untuk menyesuaikan sistem mereka, Malaysia diunjurkan mencapai status Negara Menua menjelang 2036.
“Ini bermakna kita tidak mempunyai masa yang mewah. We need to act now (kita perlu bertindak sekarang). Visi kita jelas yakni memastikan warga emas Malaysia bukan sahaja hidup lebih lama, tetapi mereka menua dalam keadaan sihat, aktif, produktif dan bermaruah,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 14.7 peratus warga emas di negara ini dilaporkan menua secara sejahtera melibatkan aspek sosial, kognitif, psikologi, fizikal dan kesihatan optimum. – KOSMO! ONLINE














