JEMPOL – Seorang warga emas yang ditemukan selamat tengah hari tadi selepas hilang di kawasan kebun sawit di Felda Palong 3 di sini sejak Ahad lalu, terkejut apabila dimaklumkan dia sebenarnya tersesat selama empat hari.
Mangsa, Abdullah Alias, 78, berkata, dia menyangka hanya keluar ke kebun seperti biasa pada waktu pagi untuk melihat pekerja memetik buah.
“Saya ingat hilang sehari sahaja tetapi apabila orang beritahu dah empat hari, saya terkejut. Seingat saya, saya nak tengok orang petik buah, selepas tu saya cari motosikal saya tak jumpa. Jadi sepanjang tempoh itu saya berjalan kaki mencari jalan keluar dan tidur di bawah pokok sawit apabila keletihan.
“Saya tak nampak apa-apa yang pelik dan tahu-tahu saya dah sampai kebun sawit Felda Palong 4,” katanya kepada Kosmo! di rumahnya di Felda Palong 3, di sini hari ini.
Anak bongsu mangsa, Asrul Azhar Abdullah, 35, berkata, keluarganya bersyukur apabila ayahnya ditemukan dalam keadaan selamat walaupun dipercayai tidak makan dengan sempurna sepanjang tempoh kehilangan.
“Kami hairan macam mana dia boleh bertahan selama empat hari. Mungkin dia hanya minum air yang ditemui di kawasan kebun atau air yang tertinggal oleh pekerja sawit,” katanya.
Sementara itu, isteri mangsa, Mon Abd Rahman, 69, berkata, dia berasa sangat lega dan gembira apabila suaminya itu ditemukan dengan selamat selepas pelbagai usaha dilakukan termasuk solat hajat serta bacaan yasin dilakukan penduduk kampung. – KOSMO! ONLINE














