BATU PAHAT – Pakatan Harapan (PH) menegaskan gabungan itu tidak takut berdepan Barisan Nasional (BN) apabila mencadangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan diadakan secara serentak.
Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan Negeri Sembilan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) beberapa hari selepas Johor membuktikan PH bersedia menghadapi BN di kedua-dua negeri pada masa yang sama.
Menurutnya, cadangan supaya kedua-dua PRN berlangsung serentak telah dinyatakan lebih awal sebagai simbol keyakinan PH untuk berdepan saingan politik secara terbuka.
“Pada Konvensyen PH di Johor Bahru pada 17 Mei lalu, saya cadangkan jika Johor bubar, Negeri Sembilan juga bubar. Kalau BN Johor lawan 56 kerusi DUN, PH Negeri Sembilan akan lawan 36 kerusi DUN.
“Selepas Johor dibubarkan pada 1 Jun, ramai yang mengejek PH dan mempersoalkan bila Negeri Sembilan mahu dibubarkan. Kita bersabar kerana Negeri Sembilan perlu melalui proses mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar.
“Akhirnya DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 4 Jun. Yang penting, kita mahu PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan serentak. Ini bukti PH tidak takut lawan BN. Sekarang permainan sudah bermula,” katanya ketika berucap pada Program Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Johor di sini malam ini.
Tambah Siew Fook, kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan pelbagai dasar yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk mengekalkan subsidi petrol.
Sehubungan itu, katanya, rakyat Johor dan Negeri Sembilan perlu memberikan sokongan kepada PH bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara dan agenda pembangunan dapat diteruskan. – KOSMO! ONLINE














