fbpx

[VIDEO] Pengendali perisian judi online tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Ezanee melihat perisian judi online yang direka cipta sebuah syarikat untuk dijual kepada sindiket di negara jiran.

PETALING JAYA – Polis menumpaskan sebuah syarikat pengendali perisian judi online selepas menahan 40 pakar teknologi maklumat dalam satu serbuan di bangunan pejabat di Symphony Square di sini hari ini.

Operasi bermula pada pukul 6.30 petang hingga 9 malam itu turut membawa kepada penahanan pemilik syarikat pengendali tersebut yang berusia 40 tahun serta dua lagi pengurus.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, siasatan mendapati syarikat itu beroperasi sejak dua tahun lalu dan mendapat keuntungan AS$40,000 (RM160,000) setiap bulan.

Katanya, syarikat itu akan memberi perisian judi online kepada sindiket judi yang berpangkalan di Thailand.

“Mereka mengendalikan perisian judi online ini melalui satu laman sesawang khas dan setakat ini sebanyak 500 aplikasi judi online direka cipta.

“Selain itu, mereka menggunakan tujuh bank untuk melakukan transaksi daripada kaki judi yang berpangkalan di negara jiran,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.

Menurutnya lagi, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mereka yang ditahan merupakan warga tempatan dan pakar teknologi maklumat.

Difahamkan setiap pekerja dibayar gaji RM3,000 hingga RM10,000 mengikut kepakaran masing-masing.

“Seramai 37 individu termasuk 11 wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an diberkas dalam serbuan tersebut.

“Mereka bekerja pada pukul 9 pagi hingga 8 malam setiap hari,” ujarnya.

Tambah Nik Ezanee, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Jenayah Komputer 1997. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI