HOUSTON – Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann menyifatkan kemenangan besar 7-1 ke atas Curacao pada aksi pembukaan Piala Dunia 2026 mampu meningkatkan keyakinan skuadnya dalam misi memburu gelaran dunia kelima.
Sejak menjulang trofi Piala Dunia pada 2014 di Brazil, gergasi Eropah itu berdepan tempoh sukar sejak sedekad lalu apabila gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada dua edisi Piala Dunia berturut-turut.
Bagaimanapun, kemenangan skuad Die Mannschaft dalam aksi pembukaan Kumpulan E semalam menamatkan kemarau kemenangan perlawanan pertama Jerman yang kali terakhir dirasai pada edisi 2014.
Menurut Nagelsmann, kemenangan besar ke atas pasukan yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia itu memberi suntikan moral penting buat anak buahnya untuk menghadapi cabaran lebih getir selepas ini.
“Kami benar-benar memerlukan keyakinan seperti ini. Saya rasa keyakinan itu memang sudah ada, tetapi kemenangan ini menjadikannya lebih kuat.
“Saya sangat berpuas hati dengan tujuh gol yang dijaringkan serta prestasi keseluruhan pasukan. Memulakan kejohanan dengan kemenangan sentiasa penting dan kami gembira dapat melakukannya.
“Kami memiliki kualiti dan membawa harapan besar penyokong. Situasi itu kadangkala boleh menjadi cabaran, tetapi pemain mengendalikannya dengan baik. Saya percaya kami mampu mengharungi saingan ini dengan baik,” ujarnya.
Jerman akan meneruskan kempen Kumpulan E dengan menentang juara Piala Negara-Negara Afrika 2023, Ivory Coast, di Toronto pada Sabtu ini. – AGENSI














