KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang akan berlangsung bulan depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya akan menempatkan kekuatan anggota bagi memastikan proses PRN berjalan dengan lancar dan terkawal.
“Di Negeri Johor, saya difahamkan memerlukan bantuan tenaga kerja daripada PDRM lebih kurang 4,000 ke 5,000 orang.
“Ini kerana Johor begitu besar dengan jumlah 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi kita akan menjaga semua tempat-tempat undian dan saluran-saluran yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar Sempena Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat di sini, hari ini
Mengulas lanjut, beliau berkata, Negeri Sembilan yang turut akan melangsungkan PRN memerlukan kerjasama serta penugasan anggota polis di seluruh negara.
Katanya, PDRM akan menggerakkan kekuatan anggota berdasarkan keperluan serta permintaan Ketua Polis Negeri bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.
Sebelum ini,m, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dilaporkan berkata, bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai.
Bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai manakala hari mengundi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos.
PRU Dewan Negeri Johor Ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta, manakala PRU Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16 dianggarkan memerlukan RM80.6 juta. – KOSMO! ONLINE














