fbpx
MEMBUAT pemeriksaan mamogram perlu bagi mengetahui seseorang itu mendapat kanser payudara atau tidak. – Gambar hiasan

Amal gaya hidup sihat, jalani ujian elak kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh DR. ZAMZIDA YUSOFF

SEORANG wanita memandang dengan pandangan jengkel dan geram. Perasaan marah juga kelihatan terserlah pada wajahnya yang merah padam.

“Kenapa doktor kata saya ada kanser? Kenapa?” soal bertubi-tubi.

Itu senario biasa yang dihadapi doktor di klinik.

Tiada insan yang minta diuji dengan penyakit kanser. Setiap orang pasti tertanya-tanya kenapa dirinya mendapat kanser secara tiba-tiba.

Dalam hal ini, doktor biasanya cuba mengupas faktor-faktor risiko yang membuatkan seseorang itu mungkin menghidap kanser.

Kajian saintifik mendedahkan hanya 50 peratus kanser sebenarnya mempunyai faktor risiko.

Selebihnya adalah faktor nasib, sama ada malang atau bertuah.

Penyakit kanser berlaku apabila sel-sel badan yang sepatutnya akur pada fungsi-fungsi tertentu, tiba-tiba berubah menjadi sel yang seakan-akan mempunyai ‘wilayah autonomi’ dan membiak serta merebak sesuka hati.

Walaupun sel-sel pengawal seperti darah putih cuba mengawal keadaan seperti biasa, namun sel kanser ini melawan dan tidak mahu berkompromi.

Ini menyebabkan organ-organ tubuh gagal berfungsi dengan sempurna serta tidak menerima zat dan nutrien yang sepatutnya diperlukan.

Lama-kelamaan, badan semakin lemah dan ini lebih memudahkan kanser merebak.

Apakah faktor-faktor yang boleh menyebabkan kanser? Ia melibatkan pelbagai faktor atau isu seperti merokok, keturunan, kurang subur (bagi wanita), jangkitan kuman, penyakit-penyakit seperti darah tinggi, kencing manis serta obesiti.

Kemungkinan untuk menghidap kanser tertentu juga tinggi jika pernah menghidap kanser lain sebelum ini.

Tabiat merokok sememangnya berbahaya kerana ia membawa risiko tinggi untuk mendapat kanser paru-paru.

Ia sejenis kanser paling kerap mengancam nyawa kaum lelaki di Malaysia saban tahun.

Asap rokok serta nikotin menjejaskan sistem paru-paru dan risiko itu kekal bertahun-tahun walaupun perokok cuba berhenti.

Ia juga meningkatkan risiko kanser pada mereka yang berada di sekeliling perokok, golongan perokok pasif, lebih-lebih lagi golongan anak kecil dan warga emas.

Apabila kita membincangkan faktor keturunan, kita kena sebut tentang asid deoksiribonukleik (DNA) yang merupakan tempat genetik yang ada untuk setiap manusia.

Bayangkan, jika kilang kereta sudah ada tempat untuk setiap produk seperti keadaan enjin, tempat duduk dan sebagainya. Begitulah juga tubuh manusia. DNA menentukan warna rambut, warna mata, ketinggian dan lain-lain.

 

MELAKUKAN aktiviti sihat seperti senaman penting untuk menghindarkan diri daripada dijangkiti penyakit. – Gambar hiasan

 

Jika dalam kod genetik itu ada sedikit perubahan yang boleh membenarkan kanser berlaku, setiap individu daripada sesebuah keluarga itu akan berisiko mendapat penyakit tersebut.

Antara jenis kanser yang diwarisi secara keturunan adalah kanser usus, payu dara, ovari, selaput rahim (endometrium), tiroid, pankreas, kanser darah (leukaemia) dan beberapa jenis kanser lagi.

Mungkin ramai pembaca kenal atau pernah dengar nama Angelina Jolie, seorang bintang pelakon Hollywood terkenal.

Ramai ahli keluarganya menghidap kanser payu dara dan ovari termasuk nenek, emak dan ibu saudaranya.

Jolie telah menjalani ujian genetik dan mendapati dirinya juga berisiko tinggi untuk mendapat kanser.

Pada tahun 2013, dia membuat keputusan drastik, menjalani pembedahan membuang kedua-dua payudaranya. Pada tahun 2015 pula, dia menjalani satu lagi pembedahan, keluarkan rahim dan kilang telur.

Ramai yang terkejut dan menganggap dia melebih-lebih dalam tindakannya itu, tetapi keputusan itu dibuat selepas dia berjumpa ramai doktor pakar serta melalui sesi kaunseling.

Dalam pada itu, masalah obesiti, kencing manis serta darah tinggi kerap muncul bersama, malah digelar penyakit tiga serangkai.

-penyakit ini sama ada secara tunggal atau bergabung menyebabkan imuniti badan kita berkurang dan sel kanser senang terbentuk serta sukar dibasmi.

Kencing manis khususnya apabila dikaitkan dengan tahap gula yang tinggi, seolah-olah memberi ‘tenaga tambahan’ pada sel kanser untuk membiak.

Pengajaran daripada perkongsian ini adalah kita sebagai individu perlu peka pada tahap kesihatan diri kita.

Pertama, jangan merokok atau mengambil minuman beralkohol secara berlebihan dan mestilah menjaga kesihatan dengan mengurangkan pengambilan gula, makanan berlemak serta makanan segera.

Selain itu, hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan berkala (sekurang-kurangnya setahun sekali) bagi mengesan kewujudan darah tinggi dan penyakit lain.

Kita juga perlu mengetahui sejarah kesihatan keluarga serta berbincang dengan doktor sama ada kena buat ujian. Wanita telah berkeluarga disarankan buat ujian pap smear bagi saringan kanser serviks serta selepas usia 40-an, selain menjalani mamogram bagi mengesan kanser payudara.

 

  • DR. ZAMZIDA YUSOFF ialah Pakar Perunding Kanan Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Ipoh, Perak

BERITA BERKAITAN