PONTIAN – Tindakan berbahaya seorang pemandu van sekolah memandu melawan arus di Kilometer 56.9 Jalan Johor Bahru -Batu Pahat akhirnya membawa padah apabila lelaki warga emas itu ditahan polis, hari ini.
Kejadian yang tular di media sosial sekitar pukul 2.03 petang semalam itu menunjukkan kenderaan berkenaan dipandu secara songsang dalam keadaan hujan, sekali gus mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussin berkata, pihaknya mengesan video berdurasi kira-kira dua minit itu pada pukul 7.55 pagi melalui pautan Facebook Geng Pontian.
“Susulan maklumat tersebut, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menjalankan siasatan dan berjaya mengenal pasti pemandu terlibat pada pukul 10.20 pagi.
“Sepasukan anggota trafik kemudian ke rumah lelaki berusia 64 tahun itu sebelum mengarahkannya hadir ke IPD Pontian bersama van sekolah bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, suspek telah ditahan dan kenderaan jenis Placer-X yang digunakan dalam kejadian turut disita kerana membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan rekod lampau juga tidak menemukan sebarang kesalahan terdahulu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














