SHAH ALAM- Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) dan SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) telah menjalin kerjasama untuk membangunkan sebuah ladang bersaiz 1011.7 hektar di Sepang, bersebelahan KLIA Aeropolis dalam usaha untuk menggalakkan pasaran industri aeroangkasa dan logistik di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata, selain dua industri itu, ladang tersebut akan dijadikan taman perindustrian bersepadu yang turut mempunyai kawasan kediaman.
“Terletak dalam Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS), kawasan ini adalah sebahagian daripada Hab Koridor Infinity Sepang di bawah Rancangan Tempatan Sepang 2035.
“Secara keseluruhnya, rangka kerja ini menjadi asas kepada koridor pertumbuhan strategik di wilayah berpotensi tinggi untuk menarik pelaburan bernilai tinggi serta memperkukuhkan ekosistem logistik dan perindustrian di Selangor,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Saipolyazan berkata, pembangunan tersebut dijangka mencatatkan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM20 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang dan ia dijangka mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.
Sementara itu, Pengerusi SD Guthrie, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, kerjasama yang dimeteri itu telah membuktikan komitmen syarikat untuk menyokong pembangunan berimpak tinggi di Selangor dan Malaysia.
Jelasnya, ini kali kedua SD Guthrie bekerjasama dengan MBI Selangor, dengan kali pertama kerjasama mereka terjalin melalui projek pembangunan bersepadu di Pulau Carey, Klang. -KOSMO! ONLINE














