HULU TERENGGANU – Seorang pengusaha ladang kelapa sawit maut akibat dihempap jentera pembajak yang sedang dipandunya di Kilometer 11, Jalan Paya Besar–Pengkalan Ajal, di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 1.30 tengah hari berkenaan, mangsa, Mansor Mamat, 71, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, Mansor dikatakan dalam perjalanan ke Pengkalan Ajal dari Pejabat Felda, Tersat di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, jentera pembajak dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas jatuh ke tebing jalan sebelum menghempapnya.
“Kemalangan tersebut berlaku dalam keadaan hujan lebat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sharudin berkata, Mansor yang cedera parah berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dengan menggunakan jengkaut.
Beliau berkata, lelaki warga emas tersebut bagaimanapun meninggal dunia tidak lama kemudian serta dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














