SEREMBAN – Seorang pelajar perempuan tingkatan empat dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Sendayan di sini, pagi tadi.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 10 pagi dan menggemparkan warga sekolah serta penduduk sekitar.
Orang awam yang berada berhampiran lokasi memaklumkan keadaan menjadi kecoh apabila ramai mula berkumpul di kawasan sekolah sejurus selepas kejadian berlaku.
Seorang penduduk berusia 60-an berkata, dia menyedari kejadian itu berlaku sewaktu pulang daripada rumah dari Seremban.
“Rumah saya bersebelahan sahaja dengan sekolah ini. Saya tengok ramai orang berkerumum. Tak sangka pula ada kes pelajar terjatuh,” katanya ketika ditemui.
Bagaimanapun, punca sebenar insiden itu masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan dan perkembangan lanjut akan dikemas kini selepas pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan rasmi. – KOSMO! ONLINE














