KUALA SELANGOR – Kedegilan sebuah ladang ternakan ayam tanpa kebenaran di Jeram yang gagal mematuhi arahan pengosongan akhirnya membawa padah apabila premis berkenaan diserbu dalam operasi bersepadu pihak berkuasa, kelmarin.
Operasi selama empat jam bermula pukul 9 pagi itu menyaksikan premis terbabit ditutup selain pelbagai peralatan disita selepas didapati beroperasi tanpa kelulusan sah.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, tindakan tegas itu diambil selepas pengusaha gagal mematuhi arahan menghentikan aktiviti ternakan dan pengosongan ladang dalam tempoh ditetapkan.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati premis terbabit telah mengeluarkan semua ternakan ayam dari premis berkenaan sebelum operasi dijalankan.
“Sebanyak lima blok ladang ternakan ayam telah dibersihkan manakala tiga blok lagi masih dalam proses pembersihan ketika operasi dijalankan.
“Premis berkenaan telah diberikan tempoh selama 20 hari untuk mengosongkan kawasan selepas operasi terakhir pada 30 April lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, operasi melibatkan 46 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi itu turut melaksanakan beberapa tindakan penguatkuasaan termasuk pengeluaran kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Katanya, pihak berkuasa turut menutup premis serta menyita 11 unit pam air dan sebuah forklift yang digunakan bagi aktiviti penternakan tersebut.
“Kompaun turut dikenakan atas kesalahan kebersihan premis dan pelepasan sisa kumbahan ke dalam anak sungai, selain tindakan pemotongan bekalan air serta elektrik.
“MPKS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perniagaan, perindustrian atau penternakan tanpa kelulusan sah serta gagal mematuhi syarat lesen dan peraturan yang ditetapkan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














