DUNGUN – Seorang lelaki dikhuatiri hilang sewaktu mencari kayu gaharu bersama dua individu lain termasuk adik lelakinya di Hutan Simpan Bukit Bauk, di sini sejak Jumaat lalu.
Kehilangan Mohd. Nawi Ismail, 55, cuma dimaklumkan kepada pihak berkuasa pada pukul 1.41 tengah hari tadi setelah usaha ahli keluarga mencarinya sejak empat hari lalu gagal.
Komander Operasi Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd. Zailani Abdullah berkata, lelaki itu dikatakan telah terpisah daripada adik lelakinya, Surini, 42, dan rakan mereka, Azman Abdul Wahab, 36, pada pukul 6 petang, Jumaat lalu.
“Sewaktu kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan keluar hutan setelah mencari kayu gaharu.
“Ketiga-tiga lelaki tersebut dikatakan memasuki hutan simpan tersebut untuk mencari kayu gaharu pada pukul 10 pagi hari sama,” katanya ketika ditemui di pinggir Hutan Simpan Bukit Bauk, di sini hari ini.
Mohd. Zailani berkata, kehilangan Mohd. Nawi yang pada mulanya mengikut belakang Surini dan Azman hanya disedari apabila mangsa tidak bersama sebaik mereka tiba di pinggir hutan berkenaan.
Beliau berkata, Surini dan Azman cuba mencari mangsa di dalam hutan tersebut tetapi gagal sebelum meminta bantuan pihak berkuasa hari ini. – KOSMO! ONLINE














