JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang yang dilaporkan cedera selepas tertembak dirinya sendiri di bahagian dada kini sedang bertarung nyawa di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Lek Khang, 41, kini dilaporkan sedang menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan dalaman dan dijangka mengambil masa kira-kira empat jam.
Bekas Setiausaha Bersatu Bersekutu Johor, Yeo Kwee Kwang berkata, beliau dimaklumkan bahawa mangsa dikejarkan ke HSI kira-kira 5.30 petang selepas mendapatkan rawatan awal di Hospital Kota Tinggi.
“Kami tidak pasti keadaan sebenar sama ada beliau sedar atau tidak kerana maklumat masih terhad.
“Namun kami difahamkan Datuk (Lek Khang) sedang menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan pada bahagian dada,”katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI, di sini malam ini.
Menurut Kwee Kwang berkata, kecederaan dipercayai berlaku ketika mangsa menjalani latihan mengendalikan senjata api.
“Ada kemungkinan semasa latihan itu terdapat peluru yang masih berada dalam pistol berkenaan menyebabkan tembakan tidak sengaja berlaku dan mencederakan beliau di bahagian badan.
“Bagaimanapun, perkara itu masih belum dapat disahkan sepenuhnya. Sama-sama kita mendoakan semoga pembedahan berjaya dan Datuk selamat,”katanya.
Difahamkan, isteri mangsa kini berada di hospital dan sedang menunggu perkembangan terkini daripada pihak doktor.
Rakan-rakan serta kenalan mangsa yang terkejut dengan kejadian itu turut hadir di hospital bagi mendapatkan maklumat lanjut serta memberikan sokongan kepada keluarga.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Lek Khang dilaporkan cedera selepas tertembak dirinya sendiri di bahagian dada ketika melakukan latihan menembak di salah sebuah pusat latihan menembak di Kota Tinggi kira-kira pukul 3 petang hari ini.-KOSMO! ONLINE














