fbpx

Yusri sudah nekad tinggalkan Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSRI sudah nekad untuk meninggalkan pasukan Kelantan meskipun KAFA berjaya melunaskan gaji tertunggak yang membelenggu pasukan itu sejak sekian lama.

MATA pencarian demi menyara keluarga menjadi salah satu faktor ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mengambil keputusan mahu meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini.

Masalah tunggakan gaji yang tiada kesudahan sejak Mac lalu menyebabkan pemain serta pegawai pasukan The Red Warriors (TRW) berada dalam situasi amat perit.

Yusri mengakui beliau akan mencari pasukan baharu sebaik sahaja saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini berakhir selepas bayaran yang dijanjikan pihak pengurusan masih belum kunjung tiba.

“Salah satu faktor saya buat keputusan tinggalkan Kelantan adalah kerana saban tahun masalah hutang ini berlaku dan besar kemungkinan akan berte­rusan seandainya tiada penaja.

“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana beri kepercayaan tetapi pada masa sama, saya perlu menampung keluarga. Saya fikir sudah tiba masa berhijrah ke tempat baharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Ditanya sama ada beliau akan mengubah fikiran sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mampu mencari penaja baharu, Yusri seperti sudah nekad dengan keputusannya untuk angkat kaki.

Bagaimanapun, bekas pemain Perlis dan Selangor itu berkata, beliau perlu membuktikan kemampuannya bersama Kelantan dalam baki saingan Liga Premier musim ini bagi menarik perhatian pasukan lain.

“Sukar untuk katakan, (keputusan muktamad) tetapi besar kemungkinan saya tidak akan bersama Kelantan lagi musim depan. Sudah tiba masa untuk orang yang lebih layak kemudi pasukan ini.

“Sekarang saya harapkan kami boleh catat keputusan terbaik dalam baki perlawanan kerana bukan mudah untuk cari pasukan baharu. Saya harap boleh buktikan sesuatu nanti,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau juga mendedahkan pihak pengurusan sudah berjanji untuk membayar sebulan gaji kepada semua pemain dan pegawai sebelum perlawanan menentang UKM pada 22 Ogos ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI