fbpx

Rugi 2.5 juta selepas van syarikat keselamatan dilarikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK dipercayai membakar van syarikat keselamatan tersebut bagi tujuan menghapuskan sebarang bukti yang mungkin dapat digunakan pihak polis untuk menjejaki mereka.

GOMBAK – Sekumpulan lelaki bertindak nekad melarikan sebuah van syarikat keselamatan sehingga mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah RM2.5 juta dalam satu kejadian samun di hadapan sebuah pusat beli belah di Rawang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan tentang kejadian daripada salah seorang pekerja syarikat keselamatan tersebut sejurus kejadian berlaku.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi sewaktu van berkenaan dengan tiga pekerja sedang dalam perjalanan menghantar wang ke beberapa lokasi sebelum berhenti di hadapan pusat beli belah tersebut.

“Sewaktu hendak memindahkan wang ke sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di pusat beli belah itu, van tersebut telah dihampiri oleh lima lelaki bertopeng dari arah belakang sambil mengacukan objek dipercayai sepucuk pistol.

“Kelima-lima suspek berkenaan seterusnya melarikan van berserta sepucuk senapang patah milik pekerja syarikat keselamatan itu sebelum ia ditemui dalam keadaan terbakar kira-kira 3 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.

Menurut Arifai, ketiga-tiga pekerja syarikat keselamatan yang berusia 28 hingga 64 tahun telah ditahan bagi menyiasat kemungkinan terdapat penglibatan dalam kejadian itu dan ditahan reman sehingga 4 Ogos depan.

“Kerugian wang tunai dianggarkan lebih kurang RM2.5 juta bersama selaras senapang patah dan kelima-lima suspek dipercayai menaiki sebuah van jenis Nissan Vanette berwarna perak untuk melarikan diri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan menggunakan senjata api,” tegas beliau.

Arifai berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Ridzuan Rooslan di talian 03 61262222 atau 014 6642011 bagi membantu siasatan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI