KUALA LUMPUR – Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (TABTAR) telah menjalankan inisiatif bagi membantu kanak-kanak autistik menjalani prosedur berkhatan menerusi penganjuran Program Sunathon Kanak-kanak Autisme 2026.
Pegawai Penganjur Program Sunathon Kanak-kanak Autisme 2026, Dr. Marjmin Osman berkata, program tersebut mencerminkan komitmen hospital dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang inklusif, selamat dan bersesuaian dengan keperluan unik kanak-kanak autistik.
Menurutnya, penganjuran sunathon itu tercetus hasil keprihatinan pihak hospital selepas menerima lebih 300 permohonan daripada ibu bapa, dengan sebahagian besar melibatkan kanak-kanak istimewa termasuk kategori autisme.
“Program ini unik kerana ia dilaksanakan khusus untuk kanak-kanak autistik, sekali gus memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima rawatan kesihatan terbaik,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Sunathon Kanak-kanak Autisme 2026 di Hospital TABTAR, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, walaupun dari sudut pandangan Islam kanak-kanak autistik secara asasnya tidak diwajibkan untuk berkhatan, namun ramai ibu bapa memilih prosedur tersebut bagi memudahkan penjagaan kebersihan anak masing-masing.
Tambahnya, prosedur sunat bagi golongan tersebut memerlukan pendekatan berbeza termasuk penggunaan bius penuh serta tempoh rawatan yang lebih panjang dan kompleks.
“Ini kerana mereka sukar mengikuti arahan dan berdepan cabaran emosi yang boleh mengganggu proses rawatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan program tersebut melibatkan kerjasama pelbagai disiplin termasuk pasukan pembedahan pediatrik, anestesiologi, pusat perkembangan kanak-kanak, kejururawatan dan rehabilitasi.
Katanya, pendekatan khas seperti penyediaan ‘calm area’, pengurangan rangsangan sensori serta penggunaan teknik komunikasi visual turut diaplikasikan bagi memastikan keselesaan peserta.
“Setiap kanak-kanak turut menjalani penilaian awal oleh pasukan pakar termasuk psikologi klinikal bagi menentukan kesesuaian mereka menjalani prosedur,” ujarnya.
Menurut beliau, kajian turut menunjukkan prosedur berkhatan mampu mengurangkan masalah ‘sensory irritation’ dan tingkah laku berulang dalam kalangan kanak-kanak autistik. – KOSMO! ONLINE














