PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad gagal untuk mengetepikan saman tiga vateran dan pemimpin DAP kerana memfitnah parti itu yang mengaitkan mereka dengan komunis.
Tiga mereka itu ialah veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang dan dua pemimpin parti itu Lim Guan Eng serta Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid selepas menolak rayuan Siti Mastura selaku perayu untuk mengetepikan saman yang sebelum ini telah diperintah Mahkamah Tinggi membayar ganti rugi RM830,034.75.
Bagaimanapun Siti Mastura sebelum ini telah melunaskan bayaran jumlah ganti rugi itu temasuk kos guaman (termasuk faedah) kepada ketiga-tiga pemimpin itu.
Dalam prosiding sama, selain menolak rayuan Siti Mastura, panel turut menolak rayuan balas Kit Siang, Guan Eng dan Teresa Kok untuk menaikkan jumlah ganti rugi yang diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datin Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar.
Pada 4 Disember 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Quay Chew Soon membenarkan saman ketiga-tiganya selepas berpuas hati, kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan mereka mempunyai pertalian dengan komunis, sebagai fitnah dan tidak disokong dengan bukti.
Hakim berkenaan mendapati, wakil rakyat itu bertindak dengan niat jahat manakala pembelaannya berdasarkan komen yang adil dan perlindungan bersyarat, tidak diterima.
Justeru, mahkamah pada masa itu mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan Teresa Kok (RM200,000), selain menetapkan RM25,000 dibayar kepada setiap plaintif sebagai kos.
Siti Mastura kemudian telah melunaskan sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada ketiga-tiga pemimpin itu.
Pembayaran tersebut dibuat melalui cek kepada Sankara untuk didepositkan ke dalam akaun firma guamannya yang turut disaksikan oleh peguamyang mewakili Siti Mastura dalam prosiding secara Zoom.
Media sebelum ini melaporkan ketiga-tiga plaintif (Kit Siang, Guan Eng dan Teresa Kok) memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura berhubung ucapan beliau dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman (PRK) pada 4 November 2023.
Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, mereka mendakwa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan parti komunis dan ketuanya, Chin Peng, serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.
Mereka mendakwa defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif bahawa mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis dan menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara. – KOSMO! ONLINE














