PETALING JAYA – Polis mengesahkan satu kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta seperti tular di media sosial berlaku di Jalan 16/11, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.10 pagi ketika motosikal dinaiki dua individu yang berada di lorong kiri telah menukar laluan ke kanan secara mengejut.
“Akibat terlalu hampir, sebuah kereta yang dipandu di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal berkenaan. Pelanggaran itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh di atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemandu kereta yang merupakan seorang wanita tempatan memberhentikan kenderaan dan memberi bantuan awal sebelum membawa mangsa ke klinik berhampiran untuk rawatan.
“Pemandu berkenaan kemudiannya hadir ke balai polis bagi membuat laporan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1) Akta Pengangkutan Jalan 1959,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak memandu secara berbahaya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














