KLANG – Seorang jurubahasa bebas bersama dua lagi lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas tuduhan bersubahat membunuh dalam satu rompakan palsu di sekitar daerah ini, empat tahun lalu.
Hakim Norliza Othman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Leong Eng Eng, 41 dan Lim Yon Hay, 40, dan Mok Kum Loon, 41 di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah turut menarik balik pertuduhan terhadap adik Yon Hay iaitu Yoon Lon, 35, susulan dia telah meninggal dunia akibat penyakit tibi pada tahun lalu.
Norliza pada penghakimannya memaklumkan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen bahawa kesemua tertuduh membunuh dan bersubahat dalam kejadian itu.
Tegasnya, tiada keterangan dari mana-mana saksi pendakwaan yang mengesahkan tertuduh-tertuduh telah bersubahat melakukan pembunuhan sama ada melalui keterangan terus ataupun keadaan.
“Untuk membuktikan Eng Eng membunuh suaminya, pihak pendakwaan memerlukan lebih dari sekadar menunjukan tompakan darah di baju dan seluar tertuduh itu.
“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dikemukakan pihak pendakwaan didapati agak kabur kecuali Eng Eng yang merupakan satu-satunya wanita dalam rakaman itu dan tiada apa yang pelik mengenainya kerana dia berada di kawasan rumahnya,” katanya.
Malah katanya, CCTV yang dikemukakan tidak boleh diterima apabila pihak pendakwaan gagal mengemukakan sijil dibawah Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 bagi menyangkal hujahan pembelaan bahawa ia dokumen janaan komputer.
Ini kerana pihak pendakwaan hanya mengemukakan memori kad yang dirampas oleh pegawai penyiasat seterusnya mengakibatkan tiada perbandingan dibuat dengan peranti asal bagi mengesahkannya.
“Tiada juga keterangan dikemukakan bahawa sejumlah RM2,600 yang disyaki wang upahan kepada Hon Hay. Dari sudut lain adalah kelemahan siasatan oleh pegawai penyiasat apabila tiada rakaman penting iaitu pergelutan untuk menunjukkan bahawa suspek yang bergelut dengan simati dan mencederakannya adalah kesemua tertuduh,” ujarnya.
Justeru katanya, pegawai penyiasat gagal menyiasat rantaian antara semua tertuduh dalam kes termasuk siapa yang hadir di rumah teesebut pada malam itu dan kaitan mereka dengan Eng Eng.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat bersama Yoon Lon yang telah meninggal dunia dengan melakukan bunuh terhadap Chow Tiam Hee, 41, dalm sebuah rumah di Taman Anika, Sungai Udang di sini antara pukul 1.20 hingga 1.40 pagi pada 15 September 2022.
Pendakwaan dikemukakan dibawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seramai 22 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula September 2023.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Nurul Ashiqin Zulkifli manakala peguam Datuk Mohd. Daud Leong Abdullah mewakili Eng Eng sementara dua lagi tertuduh iaitu Yon Hay dan Kum Loon diwakili masing-masing peguam Tan Choon Hong untuk Yon Hay dan Ayasamy Velu.
Kosmo! pada 22 September 2022 melaporkan seorang wanita berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh suaminya dalam satu rompakan palsu di sekitar daerah ini. – KOSMO! ONLINE














