PETALING JAYA – Seorang banduan yang meloloskan diri pada 9 April lalu berjaya ditangkap semula di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, di sini semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan itu dibuat kira-kira pukul 5 petang.
“PDRM Selangor merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan tersebut berjaya ditangkap.
“Ia bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejayaan tersebut sekali gus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mengesan dan menangkap semula banduan berkenaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis giat memburu seorang tahanan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, suspek dipercayai masih berada dalam negara ketika ini, dengan operasi mengesannya terus dipergiatkan pihak berkuasa.
Suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan berseluar panjang hitam.
Difahamkan, lelaki terbabit menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta kesalahan berkaitan imigresen. – KOSMO! ONLINE














