PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa sayu apabila hasrat untuk berkongsi kegembiraan menamatkan larian 10 kilometer (km) pertamanya bersama bapa tercinta tidak kesampaian selepas insan tersayang itu dijemput ilahi, empat hari sebelum acara bermula.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh @Zazainal7, dia turut meluahkan rasa sedih apabila hanya mampu menunjukkan pingat keberhasilannya di hadapan pusara bapanya, Zainal Abu Bakar demi menunaikan janji yang telah dibuat dua minggu awal sebelumnya.
Menceritakan detik tersebut, wanita itu mengakui hampir menarik diri daripada menyertai larian berkenaan kerana masih dalam keadaan berduka, namun tetap menguatkan semangatnya demi amanah yang dijanjikan bersama arwah.
“Masa ini adalah saya punya debut pertama kali dalam larian 10km dan dah janji dengan abah dua minggu awal nak tunjuk pingat dekat dia, tapi dia pergi tinggalkan saya selamanya empat hari sebelum bermulanya larian tersebut.
“Saya hampir tak nak sertai tapi sebab janji saya teruskan juga. Sepanjang larian saya menangis dan balik sahaja larian itu, terus tunjuk pingat dekat pusara abah,” katanya.
Dalam pada itu, dia terkejut apabila mendapat tahu seminggu selepas pemergian bapanya bahawa arwah merupakan seorang pelari maraton dan jaguh pecut sewaktu zaman muda.
Menurutnya, dia tidak menyangka minat mendalam terhadap sukan larian itu sebenarnya diwarisi daripada arwah bapanya, sedangkan adik-beradik yang lain tidak menunjukkan minat sama.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna memberikan kata-kata semangat dan menyifatkan minat larian tersebut sebagai warisan yang mengalir dalam darahnya.
“Sukan larian ini warisan yang mengalir dalam darah dan tolong teruskan legasi ini,” kata pengguna @syira.zul.
“Tahniah adik untuk dapatkan 10 km yang pertama, moga adik akan berjaya mengikut jejak langkah arwah abah menjadi seorang pelari pecut satu hari nanti,” kata pula pengguna @sirased74.
Wanita berkenaan turut memohon agar orang ramai mendoakan agar arwah bapanya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. – KOSMO! ONLINE














