PEMAIN beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik mengakui dia dan Aaron Chia akur dengan kekalahan kepada jaguh China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Indira Gandhi malam kelmarin, juara dunia 2022 itu tewas menerusi keputusan straight-set 17-21, 16-21 dalam tempoh 35 minit.
Wooi Yik berkata, pasukan lawan yang merupakan pilihan ketiga kejohanan menampilkan aksi cukup baik, terutamanya menerusi serangan mengejut daripada Wang Chang yang sentiasa bersedia di depan jaring.
“Pada perlawanan hari ini (kelmarin), memang mereka lebih baik berbanding kami, terutamanya ketika menyerang dan di depan gelanggang. Saya fikir kami perlu belajar daripada kekalahan ini dan cuba mengawal diri.
“Saya tetap gembira dengan prestasi kami tetapi tuah nyata tidak memihak kepada kami. Masih ada banyak sasaran di hadapan walaupun seperti saya cakap sebelum ini, karier kami sudah tidak lama,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik meraih gelaran dunia pertama mereka empat tahun lalu selepas muncul juara edisi 2022 di Tokyo, Jepun menerusi kemenangan 21-19, 21-14 ke atas beregu legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Sementara itu, Aaron pula menganggap kekalahan tersebut bukan pengakhiran buat dia dan Wooi Yik biarpun sebelum ini dia pernah menyatakan Kejohanan Dunia merupakan penampilan terakhir mereka tahun ini apabila gandingan mereka dirombak.
“Kami sudah lama bergandingan hingga sekarang dan seperti Wooi Yik cakap, ini bukan pengakhiran. Ini juga akan menjadi permulaan baharu untuk kami dan kembali fokus kepada masalah sendiri dahulu,” ujarnya.














