TERENGGANU FC (TFC) akan mengharungi aksi pramusim di Bangkok, Thailand selama 10 hari sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Pengendali TFC, Mohd. Nafuzi Zain berkata, aksi pramusim tersebut akan menjadi platform terbaik bagi memantapkan aspek taktikal selain memberi peluang kepada pemain membina keserasian sebelum tirai liga dibuka.
Menurutnya, semua pemain skuad Sang Penyu dijangka akan lengkap minggu ini sebelum berlepas ke Bangkok bagi menyertai kem latihan tersebut.
“Kita akan berkampung di Bangkok selama 10 hari bermula 29 Julai ini untuk fokus kepada latihan dan aksi pramusim bagi meningkatkan lagi tahap persiapan pasukan.
“Insya-Allah minggu depan semua pemain akan lengkap, jadi mereka dapat bersama-sama berlatih dan beraksi di Bangkok nanti supaya kita dapat membentuk keserasian pasukan lebih awal,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam. – KOSMO! ONLINE














