PETALING JAYA – Atlet Muay Thai negara, Johan Ghazali atau lebih silently sebagai Jojo mendedahkan dia menolak tawaran kerjasama bernilai RM100,000 yang didakwa bertujuan mencetuskan drama palsu di media sosial bagi meraih perhatian dan meningkatkan populariti.
Pendedahan itu dibuat menerusi beberapa hantaran di Instagram Story miliknya yang memaparkan tangkap layar perbualan mesej langsung (DM) bersama seorang individu yang menawarkan cadangan berkenaan.
Menerusi rakaman suara yang dikongsikan, individu tersebut mencadangkan Johan atau Jojo melakonkan konflik dengan pencipta kandungan Bob T20 sebelum kedua-duanya muncul dalam sebuah audio siar bagi mewujudkan persepsi seolah-olah mereka benar-benar bermusuhan.
Individu itu turut menjelaskan kandungan berkenaan hanyalah satu ‘drama’ yang dirancang bagi mencetuskan perbualan dalam kalangan netizen dan meningkatkan penjenamaan kedua-dua pihak.
Sebagai balasan, Johan menolak cadangan tersebut dan menegaskan dia hanya berminat menerima kerjasama yang memberi manfaat kepada orang ramai.
“Tak apalah bro, aku rasa kandungan macam ni tak masuk akal. Bazir masa orang saja. Kalau ada apa-apa tajaan yang boleh beri faedah kepada orang tengok, barulah okay. Terima kasih,” tulisnya.
Dalam hantaran susulan di Instagram Story, Jojo turut menjelaskan dia tidak akan bersetuju menghasilkan kandungan sedemikian walaupun ditawarkan bayaran lumayan.
“Tak kisahlah kau bagi aku RM5 juta, RM10 juta, RM100 juta atau RM100,000. No way bro. Aku takkan buat marketing sampah macam ni. Aku takkan buat drama tipu-tipu yang tak memberi faedah kepada orang yang tengok,” katanya.
Jelasnya, dia mahu memastikan setiap kandungan yang dikongsikan kepada pengikutnya mempunyai nilai dan tidak sekadar membuang masa mereka.
“Niat aku kepada peminat dan orang yang percaya dekat aku adalah untuk beri manfaat. Mungkin cara aku bercakap agak kasar, tetapi apa yang aku cakap ini dengan niat untuk memberi faedah kepada mereka.
“’Marketing’ sampah ni takkan jadi kalau tak ada orang tengok. Jadi gunakan masa dengan lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE














