PETALING JAYA – Hasrat seorang warga emas untuk menuntut hadiah cabutan bertuah bertukar kecewa apabila menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan sindiket yang menyamar sebagai ejen syarikat barangan elektrik.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Nbiylhsbri, mangsa didatangi seorang lelaki tidak dikenali di kediamannya sebelum diminta membayar sejumlah wang yang kononnya sebagai deposit bagi menuntut hadiah itu.
“Kasihan pak cik ini, termenung dia apabila kami cakap yang dia bayar itu dekat scammer. Pak cik ini datang cakap nak tuntut cabutan bertuah menang telefon bimbit, penapis air dengan televisyen.
“Sedihnya lagi, pak cik ini dah bayar dekat dia RM100. Dia cakap yang datang itu lelaki umur dalam 40 hingga 50-an. Sampai hati guna nama Tanradio (jenama) mentang-mentang orang Felda memang selalu beli barang di situ,” katanya.
Katanya, mangsa bernasib baik kerana tidak menyerahkan keseluruhan wang yang diminta individu terbabit iaitu sebanyak RM598.
“Nasib baik pak cik itu bayar RM100 sahaja. Mengikutkan hati dia nak bayar terus semua, bernasib baik dia cuma letak deposit RM100,” katanya.
Menurutnya, kejadian seperti ini wajar dijadikan iktibar buat orang ramai agar sentiasa mengingatkan ahli keluarga terutamanya golongan warga emas agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna bersimpati dengan kejadian yang menimpa warga emas berkenaan dan berkongsi pengalaman berdepan situasi hampir serupa.
“Sama macam arwah datuk saya pernah kena, RM300 dia bayar. Yelah orang tua kan mana tahu sangat, percaya sahaja. Kasihan dia, dah lah gigih memandu jauh dari Mersing ke Kota semata-mata nak tuntut hadiah palsu itu,” kata 4tiaaaa_.
“Ya Allah kesiannya, janganlah menipu orang tua. Mereka ni bersusah payah kumpul duit lama tau. Walaupun RM100 je tapi memang tak patut,” ujar Sheylasahnuar. – KOSMO! ONLINE














