KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026 sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, tertakluk kepada pergerakan harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan telah menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.
“Subsidi pada bulan Mei dan Jun 2026 pula menyederhana kepada sekitar RM4 bilion.
“Tanggungan subsidi adalah merupakan butiran perbelanjaan di bawah Belanja Mengurus (OE) di mana sumber pembiayaannya adalah daripada sumber hasil kerajaan terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berhubung implikasi kewangan kepada kerajaan susulan keputusan menetapkan harga diesel pada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai 2026, termasuk anggaran tambahan subsidi perlu ditanggung, sumber pembiayaan digunakan serta kesannya terhadap sasaran defisit fiskal negara.
Chin Tong berkata, walaupun kenaikan harga minyak meningkatkan perbelanjaan subsidi, ia juga menyumbang kepada peningkatan hasil berkaitan petroleum.
“Setiap perubahan sebanyak AS$1 setong kepada harga minyak mentah dunia dianggarkan memberi impak sekitar RM300 juta kepada hasil berkaitan petroleum Kerajaan Persekutuan, tidak termasuk dividen Petronas.
“Peningkatan hasil ini dapat membantu menampung sebahagian tekanan tambahan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga membuat pemantauan prestasi kutipan hasil secara berkala bagi memastikan jumlah hasil dapat terus menampung keperluan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara dengan ketara.
“Dapat dirumuskan bahawa pelaksanaan Budi Diesel membuktikan bahawa reformasi subsidi boleh dilaksanakan secara berhemah dengan memastikan majoriti rakyat terus menikmati subsidi bahan api.
“Ia mengurangkan ketirisan, melindungi pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kedudukan fiskal negara untuk manfaat rakyat secara keseluruhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














