fbpx
Shazeli pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan IPK Selangor hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Tikam pelajar: Siasat pengaruh komuniti sebalik insiden tikaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Siasatan polis kini tertumpu kepada kemungkinan wujud pengaruh komuniti atau kumpulan tertentu yang mendorong seorang gadis berusia 15 tahun menikam rakannya di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan itu dibuat susulan penahanan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut beliau, remaja itu bagaimanapun telah dibebaskan selepas siasatan mendapati tiada sebarang penglibatan atau kaitan dengan insiden tersebut. Lokasi penahanan remaja itu bagaimanapun tidak didedahkan.

“Siasatan untuk mengenal pasti sama ada terdapat perbincangan dalam kumpulan WhatsApp atau pertukaran pandangan dan cadangan yang mungkin menjadi faktor pendorong kepada suspek.

“Ia bukan fasilitator, sebaliknya sama ada terdapat pengaruh daripada rakan-rakan atau komuniti tertentu yang mendorong suspek bertindak sedemikian,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Mengulas mengenai penyebaran nota disyaki milik suspek sehingga tular di media sosial, Shazeli berkata, pihaknya menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dokumen tersebut tersebar.

“Nota itu merupakan antara eksibit kes. Justeru, kita sedang menyiasat bagaimana ia boleh berada di media sosial,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, keadaan mangsa dilaporkan semakin baik dan dibenarkan keluar dari hospital pada 13 Julai lalu. Gadis itu kini menjalani proses pemulihan di rumah dan masih belum kembali ke sekolah.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang remaja didakwa atas cubaan membunuh rakannya sebelum Majistret Mahkamah Telok Datok, Maslinda Selamat memerintahkan tertuduh menjalani penilaian dan rawatan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan rasa tidak puas hati dan perasaan terpendam terhadap beberapa individu yang didakwa membulinya dipercayai antara faktor yang mendorong suspek bertindak menikam mangsa.

Bagaimanapun siasatan awal polis mendapati dakwaan buli itu masih belum disokong dengan keterangan yang membuktikan insiden tersebut benar-benar berlaku.

Kejadian mengemparkan itu berlaku ketika mangsa yang berusia 15 tahun diserang dengan pisau ketika hendak duduk selepas membeli roti di kantin. Mangsa dikatakan ditikam sehingga 16 tikaman dengan kebanyakan kecederaan di belakang badan selain terkena paru-paru kiri mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN