PETALING JAYA – Polisi ‘once broken, considered sold’ yang sering dipaparkan di premis perniagaan bukanlah satu peruntukan undang-undang yang mewajibkan pelanggan membeli barangan yang terjatuh dan pecah secara tidak sengaja.
Perkara itu dijelaskan firma guaman Aimee & Zaim Arif menerusi satu hantaran di laman Threads selepas menerima pertanyaan orang ramai sama ada mereka wajib membayar harga penuh sesuatu barangan yang rosak di premis.
Menurut firma itu, frasa tersebut tidak wujud sebagai mana-mana akta bertulis, sebaliknya pelanggan mungkin hanya bertanggungjawab membayar ganti rugi sekiranya terbukti berlaku kecuaian.
“Dari sudut perundangan, pelanggan tidak wajib ‘membeli’ barangan yang pecah kerana tiada kontrak jual beli yang sah terbentuk. Namun, pelanggan mungkin bertanggungjawab membayar ganti rugi jika terdapat unsur kecuaian.
“Premis tidak boleh memaksa pelanggan membayar harga jualan penuh hanya kerana barangan tersebut terjatuh dan pecah secara tidak sengaja,” katanya.
Firma itu berkata, di bawah undang-undang kontrak, transaksi jual beli memerlukan elemen tawaran, penerimaan dan niat untuk mewujudkan hubungan kontrak, manakala meletakkan barangan di rak hanyalah pelawaan untuk membuat tawaran (invitation to treat).
Katanya, sekiranya pelanggan didapati cuai sehingga menyebabkan kerosakan, premis boleh membuat tuntutan ganti rugi di bawah undang-undang tort, namun jumlah tuntutan sepatutnya berdasarkan nilai kerugian sebenar dan bukannya harga jualan runcit.
“Jika terbukti pelanggan cuai, pelanggan hanya perlu membayar harga kos (cost price) barang tersebut kepada kedai, bukannya harga jualan runcit. Kedai tidak boleh mengambil keuntungan daripada kemalangan yang berlaku,” jelasnya.
Tambahnya, pelanggan juga boleh terlepas daripada liabiliti atau menerima pengurangan tuntutan sekiranya kerosakan berpunca daripada kecuaian premis sendiri seperti susunan rak yang tidak stabil, ruang yang terlalu sempit atau lantai yang licin.
Dalam hantaran sama, firma berkenaan turut menjelaskan bahawa sekiranya seseorang dengan sengaja memecahkan barangan, tindakan itu boleh melibatkan kes jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan pemilik premis berhak membuat laporan polis.
Malah, firma itu berkata, konsep sama turut terpakai terhadap barangan tester kerana pelanggan tidak terikat dengan kontrak jual beli, selain premis dianggap menerima risiko apabila menyediakan barangan contoh untuk kegunaan awam. – KOSMO! ONLINE














