KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat sebanyak 3.04 bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) serta 2.5 bilion panggilan yang dikenal pasti meragukan dan berunsur penipuan bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sepanjang tempoh sama, sebanyak 190,429 talian mudah alih dan tetap yang dikesan menghantar SMS meragukan turut ditamatkan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Katanya, tindakan itu dilaksanakan bagi membendung penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi untuk tujuan penipuan, sekali gus melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa sindiket scam.
“MCMC sentiasa bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui tindakan seperti permohonan penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang serta pemberian sokongan teknikal termasuk pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi membantu siasatan.
“Di samping itu, MCMC melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan sekiranya terdapat pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasanya, khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan bagi menjawab soalan Datuk Seri S. Vell Paari Samy Vellu (MIC) di Dewan Negara hari ini.
Menurut Fahmi, MCMC turut melaksanakan pemantauan secara proaktif dan boleh mengambil tindakan terhadap kandungan dalam talian yang memudaratkan selaras dengan Seksyen 233 Akta 588, selain menggunakan peruntukan di bawah Akta 866 terhadap kandungan membabitkan penipuan kewangan bagi memperkukuh keselamatan dalam talian.
Beliau berkata, kerajaan melalui MCMC juga menyediakan mekanisme aduan rasmi bagi membolehkan orang ramai melaporkan nombor telefon, pautan laman sesawang atau akaun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan, termasuk panggilan scam yang menyamar sebagai pegawai kerajaan, institusi kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), PDRM dan agensi awam.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 7 Julai 2026, sebanyak 158 aduan berkaitan aktiviti penipuan panggilan termasuk penyamaran sebagai pegawai kerajaan telah diterima dan diproses melalui Consumer Redress Portal (CRP).
“Arahan sekatan terhadap kandungan terlarang dalam SMS yang meliputi pautan (hyperlink), permohonan maklumat peribadi dan nombor telefon untuk dihubungi pula telah dikuatkuasakan sejak 1 September 2024,” katanya.
Beliau menasihatkan pengguna supaya segera melaporkan kepada penyedia perkhidmatan dan pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sesuatu akaun atau kandungan mempunyai unsur penipuan.
“Bagi kes melibatkan pemindahan wang atau menjadi mangsa penipuan kewangan, orang ramai perlu menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dengan segera bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk membantu menyekat aliran dana serta menyokong siasatan pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














