PETALING JAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Manila, Filipina dari 20 hingga 24 Julai ini.
Kementerian Luar Negeri menerusi satu kenyataan memaklumkan, mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada kesan krisis di Asia Barat terhadap Asia Tenggara, terutamanya melibatkan perdagangan dan pelaburan, keterjaminan tenaga dan makanan serta daya tahan rantaian bekalan.
“Penyertaan Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan ini mencerminkan komitmen dan iltizam Malaysia dalam memperkukuh Kepusatan ASEAN, solidariti dan daya tahan ASEAN dalam mendepani persekitaran global yang semakin mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kementerian, Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN bersama Rakan Dialog ASEAN akan menjadi platform untuk menilai kerjasama sedia ada, meneroka bentuk kerjasama baharu serta bertukar pandangan mengenai cabaran geopolitik semasa dan pendekatan terbaik untuk menanganinya.
Katanya, Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN turut dijangka membincangkan usaha pembinaan Komuniti ASEAN, pelaksanaan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara sempena ulang tahun ke-50 triti itu, selain meneliti keutamaan serta pencapaian Kepengerusian ASEAN oleh Filipina.
Mesyuarat itu turut membincangkan tindakan susulan terhadap keputusan Pemimpin ASEAN mengenai pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara, hubungan luar ASEAN serta usaha memperkukuh Kepusatan ASEAN dalam seni bina serantau yang semakin berkembang.
Selain itu, isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama serta persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 pada November depan turut dijangka menjadi agenda perbincangan.
“Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka menerima pakai beberapa dokumen hasil termasuk Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59, yang merumuskan keputusan strategik dan hasil utama yang dicapai di mesyuarat tersebut,” katanya.
Mohamad dijadual menghadiri beberapa sesi utama termasuk Perbincangan Suamuka Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN bersama wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta Mesyuarat Konsultasi Tidak Rasmi Terbuka mengenai Pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara.
Beliau juga dijadual menghadiri Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN bersama Rakan Dialog ASEAN melibatkan Australia, China, Kanada, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, Mohamad akan menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Campur Tiga Ke-27, Forum Serantau ASEAN Ke-33, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-16, Persidangan Peringkat Tinggi Negara-Negara Pihak kepada Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara serta Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Ke-5.
Pada 22 Julai ini, beliau akan mempengerusikan Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-China bersama Menteri Luar China selaras dengan peranan Malaysia sebagai Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh 2024 hingga 2027.
Mohamad turut dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara Rakan Dialog ASEAN bagi membincangkan hubungan dua hala serta isu berkepentingan bersama. – KOSMO! ONLINE














