SEREMBAN – Seorang lelaki yang sedang menjalankan kerja-kerja memasang bendera parti maut dirempuh sebuah lori dalam kejadian langgar lari di Jalan Kuala Sawah-Rantau berhampiran Kampung Belangkan, Rantau di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Yatim Osman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa berusia 23 mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Katanya, siasatan awal mendapati, nahas berlaku apabila seorang lelaki yang berada di bahu kiri jalan arah ke Rantau sedang menjalankan kerja pemasangan bendera parti.
“Secara tiba-tiba sebuah kenderaan dipercayai lori jenis dan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti telah melanggar tiang papan tanda dan mangsa yang berada di bahu jalan.
“Akibat perlanggaran itu, manga telah terjatuh di bahu jalan dan meninggal dunia. Pemandu lori dipercayai telah meninggalkan lokasi kejadian sejurus kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, usaha mengesan pemandu terlibat serta saksi masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- KOSMO! ONLINE














