HULU TERENGGANU – Destinasi pelancongan terkenal, Tasik Kenyir terus diperkasa dengan kemudahan baharu, jeti tambatan bot yang bertujuan mengawal selia rumah bot di Pengkalan Lawit di sini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Ketengah (Ketengah), Datuk Rozi Mamat berkata, projek bernilai RM8.7 juta terbabit membolehkan 40 buah rumah bot Tasik Kenyir berlabuh bagi tujuan penyelenggaraan pada satu-satu masa.
“Setiap unit tambatan bot tersebut dilengkapi bekalan elektrik dan air selain kemudahan rumah sampah berpusat.
“Ia membolehkan lebih 80 pengusaha menyelenggara rumah bot mereka dengan lebih sistematik,” katanya selepas merasmikan Jeti Tambatan Bot
di Pengkalan Lawit di sini hari ini.
Rozi berkata, kemudahan jeti tambatan bot tersebut juga bagi mengurangkan kesesakan di Pengkalan Gawi yang merupakan jeti utama kemasukan pelancong ke Tasik Kenyir.
Beliau berkata, jeti tambatan bot tersebut turut menyediakan menyediakan 30 unit pontun untuk bot laju.
“Kemudahan sama juga dilengkapi 86 perak tempat meletak kenderaan, tandas awam, rumah pam, pos pengawal, pencawang elektrik dan laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira 600 meter.
“Semoga kemudahan yang lebih moden, selamat dan tersusun ini memberi keselesaan kepada pengusaha rumah bot dan bot laju yang menjadi nadi kepada sektor pelancongan Tasik Kenyir,” katanya. – KOSMO! ONLINE














