MUAR – Misi Larian Kesyukuran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan sahaja berjaya menamatkan cabaran hampir 170 kilometer, malah turut mencatat kejayaan apabila kutipan dana mencecah RM361,848, jauh mengatasi sasaran awal RM200,000.
Jumlah yang berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua hari itu membuktikan sokongan luar biasa orang ramai terhadap misi kebajikan yang digerakkan beliau.
Syed Saddiq menamatkan larian tersebut di Laman Maharani di sini kira-kira pukul 9.15 pagi tadi selepas memulakan larian terakhir sejauh 17 kilometer dari Simpang Sungai Rambai pada pukul 7 pagi.
Ketibaannya disambut ribuan penduduk Muar yang mula memenuhi kawasan penamat sejak pukul 8 pagi sambil melaungkan ‘Hidup Muar, Hidup Muar’ dan ‘Tahniah YB’.
Suasana bertambah meriah apabila beliau yang berbaju hitam merentasi Jambatan Sultan Ismail sebelum disambut sorakan penyokong yang menanti di Laman Maharani.
Pada hari terakhir, beliau turut diiringi beberapa kumpulan pelari termasuk komuniti Muo Runner sehingga ke garisan penamat.
Larian Kesyukuran itu bermula pada 16 Julai lalu dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya sebelum merentasi Negeri Sembilan dan Melaka menuju ke Muar.
Menurut Syed Saddiq, misi berkenaan bukan sahaja bertujuan mengumpul dana kebajikan bagi membantu penduduk Parlimen Muar, malah menjadi simbolik tanda kesyukuran selepas melalui perjuangan panjang untuk membersihkan nama dan maruahnya.
Dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi menyediakan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan selain membeli iPad untuk pelajar kurang berkemampuan yang memerlukan peranti bagi tujuan pembelajaran.
Setakat semalam, kutipan dana telah mencecah RM361,848, sekali gus melepasi sasaran asal RM200,000 yang ditetapkan untuk menjayakan misi kebajikan tersebut.-KOSMO! ONLINE














