KUALA TERENGGANU – Gara-gara rambang mata mahu mengaut keuntungan berganda, seorang juruelektrik kerugian RM150,000 akibat diperdaya skim pelaburan yang tidak wujud.
Lelaki berusia 48 tahun yang menyedari tertipu itu telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 5.05 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, juruelektrik berkenaan telah dihubungi wanita tidak dikenali menawarkan mangsa skim pelaburan yang kononnya menjanjikan keuntungan berganda dalam masa singkat menerusi aplikasi WhatsApp pada 3 Julai lalu.
“Mangsa mula seronok apabila dia mendapat keuntungan dijanjikan menerusi lima pelaburan awal berskala kecil dilakukan.
“Dia kemudiannya ditawarkan pakej pelaburan lebih besar bernilai RM100,000 yang kononnya menjanjikan keuntungan RM70,000,” katanya di sini semalam.
Azli berkata, juruelektrik berkenaan yang mula rambang mata telah mengeluarkan modal pelaburan sebanyak RM150,000 yang merupakan simpanan peribadinya.
Beliau berkata, transaksi pembayaran dilakukan sebanyak empat kali di beberapa akaun bank diberi suspek antara 8 Julai hingga Khamis lalu.
“Mangsa mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila tidak memperolehi keuntungan dijanjikan sehingga hari ini malah tidak dapat mengeluarkan semula modal pelaburannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














