KLANG – Lebih 8,000 penduduk Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang di sini, buntu dibelenggu isu penyelenggaraan bangunan ekoran ketiadaan syarikat pengurusan sejak 1 Jun lalu.
Situasi itu menyebabkan 1,656 unit rumah di 12 blok pangsapuri lapan dan sembilan tingkat berdepan pelbagai masalah, termasuk lif yang kerap rosak, kawasan tidak dibersihkan, bumbung bocor serta kebimbangan terhadap bekalan elektrik dan air.
Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Perantau, Zainul Abiddin Abu Hassan berkata, syarikat pengurusan yang dilantik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak lagi beroperasi sejak tarikh tersebut.
Menurutnya, keadaan itu memberi kesan besar kepada penduduk yang majoritinya daripada golongan B40 kerana pelbagai kerosakan tidak lagi diselenggara.
“Tiada lagi pekerja pembersihan, kerosakan bumbung tidak dibaiki dan penduduk sendiri terpaksa mengeluarkan lebih RM26,000 bagi membaiki lif yang rosak di hampir semua blok. Lif merupakan kemudahan utama namun kerosakan berlarutan menyukarkan kehidupan harian penduduk,” katanya.
Terdahulu, dia bersama lebih 500 penduduk berhimpun secara aman di kawasan itu bagi menyatakan masalah berkenaan.
Tambah Zainul Abiddin, pihaknya memohon pihak terlibat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membela nasib penduduk termasuk penguatkuasaan tegas ke atas pihak yang tidak membayar caj bulanan penyelenggaraan.- KOSMO! ONLINE














