SUBANG JAYA – Seorang penghantar barang cedera selepas motosikal Yamaha Y15 ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Vios di Kilometer 29.5 Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya mengesan video kejadian yang tular di media sosial pada pukul 2.41 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika Toyota Vios dipandu seorang wanita tempatan berusia 45 tahun dari arah USJ menghala ke Plaza Tol Puchong Selatan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta yang sedang bergerak lurus di lorong kiri secara tiba-tiba dilanggar dari arah belakang sebelah kanan oleh sebuah motosikal Yamaha Y15 sehingga penunggangnya terjatuh di atas jalan raya.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang juga penghantar barang, mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN 166/59].
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-464 2222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














