GEORGE TOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bapa tunggal yang dilaporkan hilang di dusun durian, Lebuh Bukit Jambul di sini dihentikan susulan tiada petunjuk baharu berhubung keberadaannya di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pencarian telah dijalankan dalam radius dua kilometer di kawasan berbukit yang mempunyai kebun serta laluan penyelenggaraan.
Menurutnya, pasukan pencarian turut menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi dan temu bual beberapa individu di sekitar kawasan bagi membantu siasatan.
“Sehingga operasi ditamatkan pada pukul 12 tengah hari tadi, orang hilang tersebut masih belum ditemui dan tiada petunjuk baharu diperoleh,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, operasi SAR yang dijalankan pihaknya turut ditamatkan pada pukul 5.30 petang tadi.
“Tiada tanda-tiada mangsa berada di kawasan itu dan pencarian dijalankan sehingga pukul 3 petang tadi meliputi seluruh kawasan terlibat termasuk menggunakan dron,” ujarnya.
Mangsa, Shahir Zainul, 46 dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya kira-kira pukul 5 pagi, 10 Jun lalu.
Kehilangan bapa dua anak itu disedari ibunya, Salmah Shamsudin, 72, selepas anak bongsu daripada dua beradik itu tidak pulang ke rumah.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan perselisihan faham dengan ibunya berkaitan wang dipercayai menjadi punca mangsa terbabit keluar dari rumahnya di Bukit Gedung di sini, bulan lalu. – KOSMO! ONLINE














