fbpx
TANGKAP layar video kejadian yang tular di media sosial semalam.

Lelaki disyaki marah, ugut ibu ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung video tular memaparkan kejadian seorang ibu yang didakwa diugut anak sendiri, di sini semalam.

Video kejadian menunjukkan seorang lelaki yang dilihat memegang satu objek memarahi dan dikatakan mengugut ibunya di hadapan Pejabat Zakat Daerah Kuala Muda, di sini.

Difahamkan, suspek berusia lingkungan 30-an merupakan anak tunggal kepada wanita berusia lingkungan 50-an itu yang berstatus orang kurang upaya (OKU) mental.

Mereka hadir ke pejabat zakat bagi menghantar sebut harga bagi kerja-kerja membaiki rumah di Kampung Segantang Garam, Merbok dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan selepas polis menerima laporan tentang kejadian yang tular di media sosial pada semalam.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.

“Polis sedang menyiasat sama ada suspek benar-benar melakukan ugutan atau kekerasan terhadap wanita berkenaan yang dipercayai ibunya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengesan saksi kejadian dan mendapatkan rakaman video dari sudut lain bagi memastikan sama ada benar berlaku unsur keganasan atau hanya salah faham disebabkan sudut rakaman.

Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan sehingga kini polis masih belum menemui sebarang senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Hanyan turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang merakam kejadian serta membuat laporan polis sehingga membolehkan tindakan segera diambil.

Beliau turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau rakaman berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang ibu warga emas hanya mampu memandang anak lelakinya dengan wajah penuh kesayuan ketika dimarahi di tepi jalan berhampiran sebuah pejabat zakat di sini.

Rakaman berdurasi beberapa saat itu tular di media sosial sekali gus mengundang sebak orang ramai apabila wanita berkenaan dilihat berdiri sambil menggenggam tangan dan hanya menundukkan kepala ketika anaknya bercakap dengan nada tegas di sisi sebuah motosikal.

Lebih menyentuh hati, anak lelakinya yang berada atas motosikal turut berkelakuan kasar dengan menolak kepala wanita itu beberapa kali serta memegang objek tajam di tangan seolah-olah mahu mengugut ibunya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN