KAJANG – Dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun kononnya hampir menjadi mangsa cubaan culik di Jalan Taman Pelangi, Semenyih, di sini, kelmarin disahkan sebagai laporan palsu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak menyokong dakwaan yang dibuat pengadu.
“Siasatan yang dijalankan mendapati rakaman CCTV memaparkan kejadian sebenar yang berbeza daripada laporan dibuat pengadu.
“Remaja itu mengaku membuat laporan palsu kerana takut dimarahi keluarga selepas terlepas pengangkutan pulang dari sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, susulan penemuan itu, polis turut membuka kertas siasatan terhadap pengadu kerana dipercayai memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Naazron berkata, pihak polis memandang serius tindakan membuat laporan palsu kerana boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta menyebabkan pembaziran sumber dan tenaga pihak berkuasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memberikan maklumat yang benar, tepat dan lengkap ketika membuat laporan polis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















