KLANG – Kegiatan dua lelaki memindahkan 100 kotak minuman keras tidak bercukai dari sebuah lori ke sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Berai, di sini terbongkar apabila mereka diberkas polis dalam Op Intra, semalam.
Operasi kira-kira pukul 1 tengah hari itu dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah serta Unit Rondaan Cegah Jenayah (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Amanjit Singh berkata, tangkapan melibatkan dua suspek berusia 41 tahun termasuk seorang warga India.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas lori dan MPV jenis Toyota Avanza yang digunakan suspek menemukan 100 kotak minuman keras tidak bercukai kastam yang disyaki untuk diedarkan di sekitar Banting, Shah Alam dan Klang.
“Pasukan operasi turut merampas lori, MPV dan telefon bimbit untuk tindakan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM409,818,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amanjit berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan oleh sindiket yang mempunyai rangkaian hingga ke Kuala Lumpur.
Katanya, sindiket itu turut dipercayai melibatkan individu warga asing yang berperanan sebagai pengedar kepada pekerja asing di tapak-tapak pembinaan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE















